Genius aulad


Followers

Sunday, August 24, 2014

Suri Rumah Sebuah Kerjaya

"Belajar tinggi-tinggi, tapi jadi suri rumah"
"Kalau setakat nak jadi suri rumah, lebih baik tak payah masuk U"
"Rugi la dulu penat belajar, duit banyak habis. Tapi...akhirnya jadi suri rumah"

Ini adalah antara keluhan dan desas-desus yang sering didengari selepas hampir 3 tahun berhenti dari alam pekerjaan setelah bergelar ibu dan menguruskan sendiri anak serta rumah tangga.

Kenapa Suri Rumah?

Terdetik di hati, kadang-kadang teringin juga menjadi seperti rakan-rakan yang lain, bekerjaya yang hebat-hebat tetapi pada masa yang sama mereka juga bergelar isteri dan juga ibu. Mungkin nasib lebih menyebelahi mereka (pujuk hati sendiri). Tapi, hal orang lain bukan semua kita tahu, Allah itu Maha Adil. Mungkin mereka tak bahagia? Mungkin mereka sering bergaduh perihal nak menguruskan anak-anak? Mungkin juga mereka sering kesuntukan masa untuk menguruskan makan pakai suami dan anak-anak? (Maaf, jauh benar fikiran ni, banyak betul yang 'mungkin').

Niat untuk bekerja sebenarnya masih ada, tapi sebagaimana semua maklum, zaman sekarang bukannya mudah untuk mendapatkan pekerjaan. Masih segar dalam ingatan saat dan ketika mencari kerja zaman muda-muda dulu. Selepas graduate, bukannya terus dapat kerja. Sekarang umur sudah mencecah 30-an, peluang makin tipis, lambakan graduan yang semakin dihimpit dalam berebut peluang pekerjaan yang ada sekarang ni. Itu perihal nak bekerja, secara tak langsung terpasang jugak cita-cita ni nak sambung belajar (master degree) sekurang-kurangnya lepas habis belajar boleh jadi pensyarah (semudah itu ke?). Hmmm....Nampaknya niat yang terpasang tu, terpaksa la dipendamkan sahaja.

Tapi, Alhamdulillah diberikan suami yang amat memahami dan menyokong apa jua keputusan yang dianggap terbaik. Suami tak paksa untuk jadi suri rumah, tapi kalau itu yang terbaik akan diturutkan jua. Kita hanya merancang, Allah jua adalah sebaik-baik perancang. Mungkin ada hikmah di pada masa akan datang, tak siapa yang tahu.

Suri Rumah Kerjaya yang Menyeronokkan.

Bukan semua orang boleh jadi surirumah. Seharusnya kita bersyukur kerana diberi peluang untuk menguruskan sendiri rumah tangga kita. Suami selalu bertanya samada bosan atau tidak duduk di rumah. Jawapannya mesti lah 'tidak', kerana dapat membuat aktiviti-aktiviti kegemaran (hobi) disamping menguruskan rumah dan menjaga anak sendiri.

Hobi yang dimaksudkan termasuklah membuat kek, menjahit dan juga menulis. Menjadi suri rumah tak semestinya kita tak boleh belajar. Sebaliknya setelah menjadi suri rumah lebih banyak ilmu yang diperolehi. Apa yang penting sentiasa rajin belajar. Tak sangka bermula dari tak pandai memasak boleh jadi pandai memasak, dari tak pandai menjahit sudah boleh mengambil tempahan menjahit dan kadang kala menjadi seorang penulis (untuk memenuhi minat yang terpendam). Subhanallah...syukur ke hadrat-Mu, atas limpahan rahmat yang diberikan.

Menjadi suri rumah bukan lah begitu mudah kerana 24 jam kita harus bekerja (termasuk tidur pun masih lagi termimpi-mimpi perancangan untuk hari esok). Bermula dari bangun tidur pagi, siapkan sarapan, membasuh pakaian, menyapu, mengemas, memasak untuk makan tengah hari dan malam dan yang paling penting menguruskan perihal anak-anak termasuk makan, minum, pakai, dan semua aspek.

Matlamat Menjadi Suri Rumah.

Apa yang penting niat yang terpasang dari awal. Tertanya pada diri sendiri, kenapa ingin bekerja? Jawapannya tentulah ingin meringankan beban suami yang mencari rezeki untuk keluarga. Tapi, jika dilihat dari sudut positif menjadi suri rumah juga sebenarnya kita sudah bekerja dan secara tak langsung sudah pun membantu suami. Kenapa? Kerana suami tidak perlu lagi membayar upah pengasuh anak dan bibik serta tidak perlu kerap makan kat luar kerana isteri sudah masak. Bukankah itu sudah jimat? Bukanlah nak samakan suri rumah seperti orang gaji. Tapi, kita boleh melihat sendiri secara tak langsung hubungan kekeluargaan menjadi  akrab samada ibu dan anak, suami dan isteri.

Setiap orang mengimpikan kehidupan yang lebih sempurna. Namun kita perlu bersyukur dengan apa yang kita kecapi hari ini. Kita mesti ingat walau sesusah mana pun kita, ada orang lain yang lebih susah dari kita. Alhamdulillah, setakat hari ini makan, pakai semua cukup. Syukur juga kerana suami adalah seorang yang bijak dan pandai menguruskan kewangan rumah tangga.

Ramai yang pelik, hanya suami yang bekerja, isteri tak bekerja, tapi masih boleh pergi bercuti, beriadah dan bawa family jalan-jalan. Maklum la, semua orang tahu kehidupan di bandar metropolitan, Kuala Lumpur memerlukan kos sara hidup yang tinggi. Tapi, syukur sangat, sekarang suami dapat pindah tempat kerja. Mungkin inilah berkat hidup secara bersederhana. Berkat sentiasa bersabar dan sentiasa berdoa insyaAllah Tuhan permudahkan segalanya.

Ganjaran.

Oleh itu, suri rumah perlulah dianggap sebagai suatu kerjaya yang Allah s.w.t sahaja yang akan memberi ganjarannya. Namun begitu, ia tidak bermaksud menyuruh para ibu  serta isteri yang bekerja berhenti kerja dan menjadi suri rumah. Anda juga mungkin bertuah kerana mendapat peluang tersebut. Matlamat bagi setiap orang mungkin sama, cuma Allah s.w.t  berikan laluan yang berbeza untuk mencapai matlamat tersebut. Wallahuaalam..

P/s: Motivasi untuk diri sendiri, maaf jika ada tersalah kata dan terkasar bahasa...(",)




5 comments:

  1. percayalah ada je yg bekerjaya kt luar sna yg nk fulltime jdi housewife :)
    yg penting niat
    kita kerja nk crik rezki kan?
    dari rumah pun boleh crik rezki ^__^

    ReplyDelete
  2. Bukan senang jadi surirumah tapi demi anak kita akan tabah..

    ReplyDelete

NOTE:

Terima kasih kerana sudi singgah dan tinggalkan komen. Harap apajua kandungan dalam blog ini dapat memberi manfaat kepada pembaca semua. Happy reading, happy blogging!! Terima kasih...=)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...